TENOM, 19 Ogos (Bernama) -- Langkah kerajaan mengekalkan tarif lama elektrik iaitu 1.52 sen bagi setiap kilowatt-sejam (kWj) di Semenanjung, serta 1.20 sen/kWj di Sabah dan Labuan adalah bukti kerajaan peka dengan kebajikan dan keperluan rakyat.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata dengan pengekalan itu, kerajaan membelanjakan RM1.303 bilion untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik kepada pengguna di Semenanjung manakala RM468 juta subsidi khas bagi negeri Sabah dan Labuan.
"Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) amat peka kepada kebajikan dan keperluan rakyat dengan tidak menaikkan kadar tarif elektrik buat masa ini," katanya ketika berucap semasa merasmikan Program Jelajah Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) Sabah 2017 di Melalap, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah Datuk Seri Radin Malleh, Pengerusi Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah Datuk Dr Lucas Umbul, anggota Parlimen Tenom Datuk Raimie Unggi, dan Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan.
Menurutnya keputusan yang dibuat Kabinet untuk mengekalkan tarif elektrik itu adalah satu langkah wajar untuk tidak membebankan rakyat di negara ini.
Justeru, Ongkili menyeru rakyat di negara ini agar memahami kepentingan aplikasi teknologi hijau dan membudayakannya dalam amalan hidup seharian bagi membolehkan pembangunan negara direncana ke arah lebih mapan, selari dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050.
Katanya, kementeriannya melalui YaHijau berperanan memberi pendidikan, kesedaran, mempromosi dan menggalakkan penyertaan masyarakat serta badan korporat tentang penggunaan teknologi hijau itu.
"Program ini bertujuan untuk berkongsi idea dan memberi pendedahan kepada orang ramai, khususnya masyarakat di peringkat akar umbi di negeri Sabah, mengenai kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hidup hijau," katanya.
Mengenai program itu, Ongkili berkata ia merupakan kesinambungan program Jelajah YaHijau Sabah Siri Pertama yang dimulakan di Motunggong, Sabah baru-baru ini.
Katanya YaHijau telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan sebagai penggerak kepada peningkatan kesedaran amalan hidup hijau serta aplikasi teknologi hijau sedia ada khususnya di kalangan belia.
Pada tahun ini, kata Ongkili, YaHijau mendapat kerjasama Tenaga Nasional Berhad selaku rakan strategik utama, selain Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bagi menjayakan program itu sekali gus memberi impak maksimum kepada orang ramai.