PEKAN: Kerajaan Persekutuan merancang membantu kerajaan negeri dan operator pengurusan air negeri menerusi geran atau pinjaman dalam usaha mengurangkan air yang tidak berhasil (NRW) pada Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang bermula tahun hadapan.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, pemberian bantuan seumpamanya tidak pernah dilakukan secara terus kepada pihak berkenaan sebelum ini, dan menyifatkan tindakan itu sebagai transformasi baharu di masa hadapan.
“Sebelum ini, tugas NRW adalah tugas operator (pengurusan air) atau kerajaan negeri, kecuali kepada negeri yang sudah berpindah di bawah Skim Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara yang diuruskan dan dibiayai oleh Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“Biasanya kerajaan yang negeri atau operator masih belum berpindah seperti Pengurusan Air Pahang Berhad yang mengendalikan sebahagian besar kewangan itu…memang tidak mencukupi.
“Kerajaan Pusat pada segi dasar memang perlu membantu,” katanya selepas merasmikan Karnival YaHijau @Pekan di Dataran Pekan di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Datuk Seri Dr James Dawos Mamit; Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Loo Took Gee.
Pemberian bantuan itu juga selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu melihat kewujudan Rangka Tindakan NRW Nasional, yang mana menurut Ongkili, masih dalam proses pelaksanaan.
Ongkili bagaimanapun tidak menyatakan jumlah peruntukan bagi tujuan pengurangan NRW, kerana ia bergantung kepada pengumuman Bajet 2016 yang dijadualkan akan dibentangkan Najib, yang juga Menteri Kewangan pada 23 Oktober ini.
Negeri yang belum ‘berhijrah’ ialah Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu dan merujuk kepada NRW di Pahang, Ongkili berkata kerajaan menetapkan sasaran pengurangan kepada 44 peratus menjelang 2017, berbanding 52.6 peratus pada masa kini.
“Untuk makluman, buat masa ini terdapat dua projek NRW yang sedang dilaksanakan iaitu di Kuantan dan Kuala Lipis, yang dijangka siap selewat-lewatnya pada 2017 sebelum diperluaskan ke daerah lain termasuk Pekan,” katanya.
Dalam majlis sama, Ongkili turut mengumumkan tujuh sekolah di Pahang telah terpilih untuk menerima surat pentauliahan Projek Kempen Sekolah Hijau Fasa 3 yang membabitkan pemasangan sistem Photovoltik (PV) dengan kapasiti lima kWp yang akan memberi pendidikan dan pendedahan tentang kepentingan tenaga boleh diperbaharui.
Tujuh sekolah itu ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Tun Abdul Razak, Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan, SMK Seri Damai, SMK Tengku Abdullah , Sekolah Kebangsaan (SK) Relong dan SK Pekan Jaya. – BERNAMA