PEKAN 10 Okt. – Bantuan berbentuk geran mahupun pinjaman bagi membantu kerajaan negeri atau syarikat pembekalan air peringkat negeri bakal disalurkan bagi mengurangkan tahap air tidak berhasil (NRW) di kawasan terlibat.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata, pihaknya telah menyerahkan laporan peruntukan yang diperlukan kepada Kementerian Kewangan dan jumlah sebenar bantuan yang akan diberikan hanya dapat diketahui selepas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober ini.
“Sebelum ini tugas untuk kurangkan NRW adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri atau operator peringkat negeri namun terdapat kekangan dari segi kewangan. Oleh itu Kerajaan Pusat pada dasarnya memutuskan perlu ada campur tangan untuk bantu mengurangkan NRW di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.
“Penglibatan kerajaan adalah dari segi dana, sebahagian daripadanya geran dan sebahagian lagi berbentuk pinjaman. Tumpuan diberikan kepada negeri yang mempunyai kadar NRW tinggi iaitu di Pahang, Sabah dan Kedah,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) Pekan 2015 di Dataran Pekan di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Mohd. Soffi Abdul Razak.
Sementara itu, Maximus turut menjelaskan Pahang bakal memperoleh pendapatan baharu sebanyak RM72 juta menerusi perjanjian pembekalan air mentah sebanyak satu bilion liter sehari untuk keperluan air di Selangor.
“Selangor akan bayar royalti kira-kira RM72 juta setiap tahun sekiranya kapasiti sepenuhnya digunakan namun buat masa ini Loji Rawatan Air Langat 2 masih belum siap jadi air mentah dari Sungai Semantan, Pahang hanya akan dipam ke Sungai Langat, Selangor sekiranya diperlukan dengan kapasiti yang dikirim antara 300 hingga 500 juta liter sehari.
“Air di Sungai Semantan adalah mencukupi bagi tujuan pembekalan air tersebut namun apabila air dipam ke Sungai Langat, paras air di Sungai Semantan menjadi sedikit rendah sehingga menyukarkan loji lama Sungai Semantan mengepam air untuk kegunaan penduduk setempat.
“Sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, loji lama berkenaan akan dinaik taraf sebelum menunggu pembinaan loji baharu di bawah Rancangan Malaysia ke-11,” katanya.