PEKAN – Kerajaan pusat akan memberikan bantuan berbentuk geran mahupun pinjaman bagi membantu kerajaan negeri atau syarikat pembekalan air peringkat negeri mengurangkan tahap air tidak berhasil (NRW) di kawasan masing-masing.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata, laporan peruntukan yang diperlukan telah diserah kepada Kementerian Kewangan dan jumlah sebenar bantuan yang akan diberikan hanya dapat diketahui selepas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober nanti.
“Sebelum ini tugas untuk kurangkan NRW adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri atau operator peringkat negeri, namun kekangan dari segi kewangan memerlukan campurtangan kerajaan pusat di mana dari segi dasarnya telah memutuskan untuk mengurangkan NRW di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.
“Penglibatan kami adalah dari segi dana, sebahagian daripadanya adalah geran dan sebahagian lagi berbentuk pinjaman. Tumpuan diberikan kepada negeri Pahang yang mempunyai kadar NRW tinggi iaitu di Pahang, Sabah dan Kedah,” katanya selepas merasmikan pelancaran Karnival YaHijau Pekan 2015 di Dataran Pekan, di sini.
Sementara itu, Maximus turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri Pahang bakal memperoleh pendapatan baharu sebanyak RM72 juta menerusi perjanjian pembekalan air mentah sebanyak 1 bilion liter sehari untuk keperluan air negeri Selangor.
“Selangor akan membayar royalti kira-kira RM72 juta setiap tahun sekiranya kapasiti sepenuhnya digunakan namun buat masa ini Loji Rawatan Air Langat 2 masih belum siap, jadi air mentah dari Sungai Semantan, Pahang hanya akan dipam ke Sungai Langat, Selangor sekiranya diperlukan dengan kapasiti yang dikirim antara 300 hingga 500 juta liter sehari.
“Air di Sungai Semantan adalah mencukupi bagi tujuan pembekalan air tersebut namun apabila air dipam ke Sungai Langat, paras air di Sungai Semantan menjadi sedikit rendah sehingga menukarkan loji lama Sungai Semantan mengepam air untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya.
Jelasnya lagi, sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, loji lama berkenaan akan dinaik taraf sebelum menunggu perlaksanaan pembinaan loji baharu di bawah Rancangan Malaysia ke-11.