Sebahagian 500 peserta acara senamrobik sempena Karnival Yayasan Hijau Malaysia (YHM) di pekarangan Kompleks Pekan Rabu Kuah, Langkawi.

500 sertai senamrobik sempena Karnival YHM

LANGKAWI: Seramai 500 peserta menyertai aktiviti senamrobik yang menjadi acara pembuka tirai kepada Karnival Yayasan Hijau Malaysia (YHM) 2016 berlangsung dua hari di pekarangan Kompleks Pekan Rabu Kuah, di sini.

Acara bermula jam 8.30 pagi itu disertai Ketua Pegawai Eksekutif YHM, Amin Abdullah dan Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat, yang bersama-sama bersenam dan sempat beramah mesra bersama penduduk tempatan dan pelancong yang sedang bercuti di pulau ini.

Amin berkata, lebih 100 acara bersifat interaktif, pameran dan ceramah disusun sepanjang dua hari karnival itu bagi menggalakkan gaya hidup yang mementingkan alam sekitar dalam kalangan rakyat.

Katanya, antara aktiviti menarik hari ini termasuk Pameran Hijau, Pertandingan Model Rumah Kecekapan Tenaga, Kenderaan Solar, Cabaran Dapur Hijau dan Pameran Kraf Kitar Semula.

“Selain itu, kita akan adakan sesi Jom Kurus bersama perunding kesihatan Kevin Zahri, Pertukaran Sisa dan Lampu, Tempat Letak Kereta Menyeronokkan, Larian Ria Eco, Ceramah Poket, Pandu Ria Kereta Elektrik, Pemeriksaan Kesihatan dan Cabutan Bertuah,” katanya.

Sementara itu, Isahak berkata, penganjur memilih aktiviti yang relevan dengan konsep hijau dan orang ramai wajar memilih karnival itu untuk membawa keluarga menyertai program yang sangat bermanfaat.

“Sempena cuti hujung minggu, eloklah orang ramai memeriahkan karnival ini kerana di samping memperoleh ilmu, mereka berpeluang membawa pulang hadiah ditawarkan menerusi pelbagai permainan interaktif,” katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.