USAHA melestarikan persekitaran bersih dengan melaksanakan pengurusan sistem sisa pepejal yang efektif mungkin menelan belanja yang besar.
Kerjasama kolektif pelbagai pihak dalam menangani perkara itu mampu menjayakan impian Malaysia menjadi bersih dan menampilkan persaingan kompetitif dengan Singapura.
Pada perayaan Thaipusam baru-baru ini, terdapat pelbagai lambakan sisa pepejal yang dianggap boleh dibentuk menjadi satu kraf tangan mahupun dekorasi rumah.
Semua terletak pada kesedaran diri dan keinginan untuk mengambil langkah proaktif dalam mengguna pakai semula bahan tersebut.
Prihatin dengan keadaan semasa, Yayasan Hijau (YaHijau) Malaysia yang bergerak aktif dalam memperjuangkan teknologi hijau di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menjalankan satu bengkel pembuatan kraf tangan menggunakan bahan-bahan terbuang yang digunakan pada perayaan tersebut.
Pendidikan
Menurut Pegawai Perhubungan Awam, Deepa Kaur, bengkel YaHijau Eco itu merupakan program yang dijalankan selama dua hari sejak Selasa lalu di sekitar Batu Caves, Gombak, Selangor.
“Bengkel ini adalah untuk memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai amalan gaya hidup hijau dan mengadaptasi kemahiran pembuatan kraf menggunakan bahan sisa harian.
“Program ini memfokuskan bahan-bahan kitar semula yang terdapat di sekitar kawasan perayaan seperti botol mineral, botol minyak, kotak, guni bawang dan tempurung kelapa sebelum ia ditukar kepada dekorasi rumah seperti pasu bunga, lampu meja serta balang berhias,” katanya.
Bengkel YaHijau Eco dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.
Bengkel itu turut mendapat kerjasama pihak Bluebox yang membekalkan tenaga pengajar seramai tiga orang selain 24 sukarelawan terdiri daripada para pelajar Universiti Tenaga Nasional.
Kesemua sukarelawan bergerak secara rawak mengumpulkan bahan-bahan sebanyak mungkin sisa pepejal sepanjang perayaan tersebut dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum ia digunakan untuk membentuk hasil kraf.
YaHijau turut berjaya menarik hampir 1,000 pengunjung untuk menyertai bengkel kali ini yang juga memfokuskan golongan muda dan suri rumah. Ia dilihat lebih bersifat kempen berkonsepkan kekeluargaan, sekali gus pelaksanaan menjadi lebih berkesan.
Sementara itu salah seorang sukarelawan, Muhammad Akmal Aizat Norizam, 20, berpendapat, program pada hari itu mampu memberi manfaat maksimum kepada masyarakat dengan meningkatkan kesedaran amalan kitar semula barangan yang dibuang.
“Kita sering kali membeli barangan di kedai runcit dan diberi beg plastik merah. Kita memandang ia sebagai satu benda untuk dibuang, namun plastik itu boleh digubah menjadi bunga telur sebagai perhiasan seperti yang dipelajari hari ini.
“Sekiranya diusahakan dengan lebih serius, ia mampu menjana pendapatan apabila sekuntum bunga itu boleh dijual pada harga RM2. Secara tidak langsung, kita mengubah perspektif bahan ini sebagai satu nilai yang berharga,” katanya yang kini mahir membuat beberapa hasil kraf tangan seperti bunga dan tas tangan diperbuat daripada banting.
Penuntut tahun satu jurusan kejuruteraan elektrik itu turut berhasrat untuk berkongsi pengalaman menghasilkan perhiasan itu dengan rakannya selain ia boleh meningkatkan inovasi dalam diri.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Rajan Maniventheran, 40, berkata, dia sangat teruja apabila berpeluang menyertai bengkel itu kerana memperoleh pengalaman baharu.
“Saya turut mengusahakan kraf tangan menggunakan pelbagai material termasuk straw dan manik, namun bahan seperti beg plastik merah dalam menghasilkan sekuntum bunga adalah sesuatu yang baharu bagi saya.
“Jika dibuat dengan kemas, ia akan menjadi satu dekorasi menarik untuk digantungkan dalam rumah selain tidak mengeluarkan belanja yang banyak. Ia turut menyumbang kepada kebersihan alam selain turut boleh dijual,” ujarnya yang mengusahakan perhiasan kaum India seperti bunga malai.