UiTM sasar pengiktirafan antarabangsa pelihara hutan dalam kampus

TAKIYUDDIN Hassan menanam Pokok Merawan Siput Jantan sambil disaksikan Roziah Mohd. Janor (dua dari kanan) selepas merasmikan Pelancaran Program 'One to One Tree' dan Majlis Menandatangani MOU antara KeTSA melalui YHM dengan UiTM di Shah Alam, Selangor.

· Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL

· 30 Mac 2022, 4:42 pm

SHAH ALAM: Kelebihan mempunyai hutan simpan dalam kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat cawangannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Jengka, Pahang membolehkan institusi pengajian tinggai awam (IPTA) berkenaan mendapatkan pengiktirafan dunia.

 

UiTM menyasarkan untuk memperoleh pengiktirafan Other Effective area-based Conservation Measures (OECM) daripada Kesatuan Antarabangsa untuk Konservasi Alam Sekitar (IUCN).

 

Malah bakal menjadi universiti pertama di dunia jika memperolehnya lebih awal berbanding Universiti Witswatersrand, Johanesburg di Afrika Selatan yang kini sedang dalam penilaian badan tersebut.

 

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Rodziah Mohd. Janor berkata, inisiatif tersebut sedang digerakkan Institut Jaringan Industri, Alumni dan Komuniti (ICAN) untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut melalui UiTM Kampus Kuala Pilah dan Jengka.

 

“Sekarang sudah diusahakan di Kampus Kuala Pilah yang di dalamnya ada hutan simpan. Jadi hutan tersebut kita pelihara dari segi flora dan faunanya. Selain itu Kampus Jengka juga mempunyai hutan simpan.

 

“Jadi OECM ini adalah pengiktirafan global, yang pertama dalam dunia, setakat ini sebuah universiti Afrika Selatan yang kini masih dalam penilaian, kalau UiTM dapat dahulu, maknanya kita akan jadi universiti pertama dapat pengiktirafan ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

 

Terdahulu beliau hadir Majlis Pelancaran Program One to One Tree dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dengan UiTM yang dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

 

Dalam program tersebut, Roziah menyasarkan untuk UiTM mencapai sasaran 200,000 pokok di tanam di kesemua 35 kampus UiTM seluruh negara sebagai usaha menyokong program 100 juta pokok menjelang 2025 oleh KeTSA.

 

Menurutnya lagi, UiTM sudah pun melaksanakan penanaman pokok pada tahun lepas dan diteruskan dengan menggalakkan pelajar dan kakitangan serta jaringan swastanya untuk menyertai program tersebut.

 

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terbesar di negara ini, UiTM sentiasa bersama-sama merealisasikan hasrat untuk mewujudkan konsep kehijauan dengan memelihara dan memulihara alam sekitar.

 

“Menerusi kempen bersama YHM, sebanyak kira-kira 300 batang pokok yang melibatkan lebih daripada 50 lokasi terpilih dengan kepelbagaian spesis di seluruh sistem UiTM akan dilaksanakan,” ujarnya. –UTUSAN