Pelepasan cukai galak sertai kempen tanam 100 juta pokok

KUALA LUMPUR, 24 Nov -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjawab soalan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA


Takiyuddin pada persidangan di Dewan Rakyat. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelepasan cukai hingga tujuh peratus diberi kepada individu yang menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Hijau Malaysia bagi Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bagi syarikat pula, potongan cukai ditawarkan hingga 10 peratus daripada jumlah pendapatan agregat tahunan, berdasarkan Seksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Ini adalah usaha Yayasan Hijau Malaysia dalam memberi galakan kepada orang awam supaya terbabit aktiviti penanaman 100 juta pokok, dengan memberikan pelepasan cukai itu," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (BEBAS-Tebrau) yang ingin mengetahui ganjaran bagi menggalakkan orang ramai aktif dalam program berkenaan.

Selain Yayasan Hijau Malaysia, Takiyuddin berkata, program itu turut disertai Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Perhutanan Sarawak, jabatan perhutanan negeri di Semenanjung dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Menjawab soalan tambahan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) mengenai jumlah pokok yang sudah ditanam pula, beliau berkata hingga kini, sebanyak 23,746,874 pokok ditanam di seluruh negara dengan 6,451,142 pokok bernilai tinggi merangkumi 322 spesies.

Dalam jawapan soalan asal mengenai jumlah pelanggan aplikasi kempen menanam 100 juta pokok itu, katanya, seramai 4,139 orang menggunakan aplikasi mudah alih 'Penghijauan Malaysia', setakat 22 November lalu.

"Laman web khas juga boleh dicapai melalui pautan www.100jutapokok.gov.my oleh semua agensi kerajaan, swasta dan orang awam bagi merekodkan data penanaman pokok sama ada mewakili agensi mahupun individu.

"Sistem pengoperasian 'Penghijauan Malaysia' tidak mengklasifikasikan data dari kawasan luar bandar dan bandar. Bagaimanapun, data itu diklasifikasikan mengikut negeri, agensi atau individu penanam serta jenis pokok," katanya.- BH