KeTSA tarik potensi pelaburan RM5.8b

Delegasi KeTSA dan syarikat melawat pavilion Dubai Electricity and Water Authority (DEWA) sempena Ekspo 2020 Dubai, baru-baru ini. - Foto Facebook Yayasan Hijau Malaysia

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menarik potensi pelaburan dianggar bernilai RM5.8 bilion pada Minggu Ke-18 Ekspo 2020 Dubai yang disertai baru-baru ini.

KeTSA dalam satu kenyataan media berkata, ekspo dari 30 Januari hingga 5 Februari itu disertai agensi seliaannya iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) selaku agensi pelaksana yang menganjurkan program bertemakan 'Sustainable Energy and Natural Resources'.

Sepanjang ekspo berlangsung, delegasi KeTSA turut disertai oleh 13 syarikat tempatan dari bidang tenaga dan sumber asli.

Daripada jumlah itu, katanya, potensi pelaburan bernilai RM4.22 bilion diperoleh melalui dua Memorandum Persefahaman (MoU).

Katanya, yang pertama antara syarikat Gading Kencana Sdn Bhd dengan March Global LLC dari Arab Saudi untuk pembangunan projek solar berskala besar di Asia Barat, Afrika dan rantau Asia yang dijangka menjana pelaburan bernilai RM4.2 bilion.

"MoU antara syarikat Concord Renewable Energy Sdn Bhd dengan Innio Jenbacher GMBH & CO OG dari Jerman akan membekalkan teknologi dan peralatan bagi pembangunan penjanaan loji jana kuasa biogas, dijangka membawa pelaburan bernilai RM20 juta.

"Selebihnya iaitu RM1.6 bilion diperoleh melalui 57 sesi padanan perniagaan antara syarikat tempatan yang menyertai delegasi KeTSA dengan syarikat asing yang menghadiri ekspo ini," katanya.

Minggu ke-18 ekspo menyaksikan syarikat Concord Renewable Energy Sdn Bhd melancarkan Concord Biogas Cube Srubber System.

Ia adalah produk bagi penjanaan tenaga daripada sumber biogas yang direka serta dihasilkan melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan syarikat itu sendiri, yang berpotensi untuk diperluaskan ke negara lain.

Selain itu, wakil industri dari Malaysia iaitu PETRONAS, Gading Kencana Sdn Bhd dan Concord Renewable Energy Sdn Bhd turut menyertai sesi perkongsian maklumat mengenai potensi perniagaan dan peluang pelaburan terutama dalam bidang tenaga lestari di Malaysia.

Delegasi KeTSA dan syarikat turut mengadakan kunjungan rasmi ke pavilion Emirates National Oil Company (ENOC) dan Dubai Electricity and Water Authority (DEWA) bagi berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai strategi serta pelaksanaan usaha peralihan tenaga.

KeTSA turut memghargai penyertaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), syarikat dalam delegasi KeTSA serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan ekspo itu. - BH