Dr. Shamsul Anuar (kanan) menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan Covid-19.

MAY 12, 2020 - BAGI menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menghadapi wabak Covid-19, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Yayasan Hijau Malaysia menyumbang makanan kepada mereka.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah proaktif dari awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diambil dengan menggerakkan semua agensi dan jabatan di bawah kementeriannya berperanan secara maksima bagi memerangi wabak itu.

Katanya, peranan itu turut dimainkan Yayasan Hijau yang berada di bawah KeTSA dengan bantuan di hospital dan klinik terpilih seluruh Malaysia.

"Setakat ini 15 hospital dan dua klinik kesihatan terpilih seluruh negara sudah mendapat manfaat dari program ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia Amin Abdullah berkata, pihaknya akan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu sebarang usaha yang baik khususnya dalam melawan wabak Covid-19.