Jumlah keluasan hutan negara 18.83 juta hektar

TAKIYUDDIN Hassan berucap dalam perasmian Majlis Pelancaran Program 'One to One Tree' serta Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor, hari ini.

· Oleh Laupa Junus

· 30 Mac 2022, 8:26 pm

SHAH ALAM: Negara kini mempunyai liputan keluasan hutan sebanyak 55.3 peratus atau 18.83 juta hektar berbanding keluasan tanah negara.

Jumlah tersebut menjadikan Malaysia antara 12 negara terkaya dengan khazanah biodiversiti mega apabila hampir 70 peratus spesies hidupan yang diketahui di dunia terdapat di Malaysia.

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Malaysia sejak 1992 menyatakan komitmen dalam Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil untuk mengekalkan kawasan hutan sekurang-kurangnya 50 peratus.

 

“Hutan sangat penting kerana selain menyediakan ekosistem seperti bekalan udara, air bersih, sumber makanan, eko-pelancongan dan sebagainya, juga diperlukan sebagai kawasan tadahan hujan bagi mengelak tragedi banjir dan tanah runtuh serta menstabilkan perubahan iklim.

 

“Biodiversiti merupakan aset semula jadi negara yang sangat berharga dalam mengekalkan persekitaran semula jadi dan sistem sokongan hayat dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perhutanan, perikatan, perubatan dan pelancongan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Program One to One Tree serta Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

Program tersebut menyaksikan komitmen UiTM untuk menyumbang kepada Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu menyasarkan penanaman sebanyak 200,000 pokok sehari.

 

Menurut Takiyuddin, sehingga kini, program KeTSA bertemakan Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita yang dilancarkan pada tahun lalu berjaya merekodkan penanaman sebanyak 28.87 juta pkok merangkumi 1,000 spesies di seluruh negara.

 

“KeTSA mengambil kesempatan untuk menjemput semua pihak swasta dan IPT lain agar terus menyokong usaha bagi menjayakan agenda nasional dengan penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.”

 

“Kerjasama antara UiTM dengan YHM diharap dapat mendidik dan mendedahkan warga universiti mengenai kepentingan penanaman pokomk di samping meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan pokok,” ujarnya.- UTUSAN